BENGKEL PERANCANGAN PROJEK PEMBANGUNAN FELDA RMKE-13
(2026 HINGGA 2030)
Bandar Baru Bangi, 26 November 2024 – Seksyen Pembangunan, Bahagian Kawal Selia FELDA, Jabatan Perdana Menteri (BKSF, JPM) telah menganjurkan Bengkel Perancangan Projek Pembangunan FELDA RMKE-13 bertempat di Hotel Tenera, Bandar Baru Bangi. Bengkel ini akan berlangsung selama 2 hari bermula 26 November 2024 sehingga 27 November 2024 yang dihadiri kira-kira 70 orang peserta daripada FELDA dan FIC IPM.
Tujuan pelaksanaan bengkel ini diadakan adalah untuk memastikan isu dan cabaran yang dihadapi dalam pelaksanaan projek pembangunan dapat diatasi bagi mengelakkan projek sakit dan lewat disiapkan dari tempoh yang telah ditetapkan.
Penganjuran bengkel ini bertepatan dan akan menjadi sebagai satu platform terbaik bagi merencana atau menyusun perancangan projek pembangunan FELDA untuk tempoh 5 tahun mendatang dalam RMKe-13 dengan tema “Mensejahtera Peneroka, Memperkasa FELDA, Memakmur Negara”.
Bengkel ini juga memberi peluang kepada semua wakil yang hadir untuk berkongsi pandangan dan idea dalam memastikan setiap perancangan projek/program pembangunan dapat dijayakan dengan baik setelah mengambil kira best value for money.
Majlis perasmian bengkel ini telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Dr. Khairus Masnan bin Abdul Khalid, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Jabatan Perdana Menteri (JPM). Turut hadir adalah YBrs. Encik Ahmad Tarmizi bin Zakaria, Setiausaha Bahagian, Bahagian Kawal Selia FELDA JPM, YBhg. Datin Rosmayuzi binti Musa, Timbalan Pengarah Bahagian Pertanian, Kementerian Ekonomi, YBrs. Encik Mahadzir bin Mustafa, Timbalan Pengarah Besar FELDA, YBrs. Encik Mohamed Nadzir bin Hj Azizi, Ketua Pegawai Eksekutif, FIC Integrated Property Management (FIC IPM).