Melaka, 21 Februari 2023 – Bahagian Kawal Selia FELDA, Jabatan Perdana Menteri telah menganjurkan Bengkel Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 (Akta 530) bermula 19 hingga 21 Februari di Hotel LaCrista, Melaka. Seramai 60 orang peserta telah hadir terdiri daripada wakil Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), FELCRA Berhad dan BKSF, JPM.
 
Akta 530 telah digubal pada tahun 1960 bertujuan untuk menyeragamkan undang-undang serta dasar dengan penubuhan kawasan penempatan berkelompok. Ia merupakan Akta Parlimen dan undang-undang khusus mengenai syarat pemilikan tanah berkelompok dan pembangunan tanah.
 
Akta ini telah melalui beberapa siri pindaan dengan pindaan terakhir dibuat pada tahun 2002 yang membolehkan pemilikan bersama tidak lebih daripada dua orang pemilik termasuk peneroka asal. Berdasarkan kepada keperluan semasa, semakan semula Akta ini perlu dibuat bagi tujuan penambahbaikan setelah tiada sebarang semakan dan pindaan dibuat dalam tempoh 21 tahun.
 
Sehubungan itu, Bengkel Akta ini dijalankan sebagai gerak kerja awal bagi tujuan semakan Akta dengan mengenal pasti isu serta cadangan penyelesaian sebelum ia dibawa ke peringkat seterusnya. Penceramah terdiri daripada YBrs. Encik Jaiya Abu, Pengarah Jabatan Pengurusan dan Perundangan Tanah JKPTG, YBrs. Dr. Mohd Syaiful Hassan, Pengarah Jabatan Pengurusan Tanah, FELDA dan YBrs. Tuan Haji Zainul Anzaid Haji Seman, Pengurus Besar Kanan Perancangan & Pembangunan Projek, FELCRA Berhad.
 
Turut hadir YBhg. Dato’ Azlan Johar, Setiausaha Bahagian, BKSF, JPM dan YBrs. Dr. Mohammed Zakkariya Mulkiaman, Timbalan Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik, KKDW.
 
 
Skip to content