SESI LIBAT URUS BERSAMA PEMEGANG TARUH DAN PIHAK BERKEPENTINGAN UNTUK TUJUAN SEMAKAN DAN PINDAAN AKTA 530 BAGI ZON
Port Dickson, 23-25 September 2024 – Bahagian Kawal Selia FELDA, Jabatan Perdana Menteri (BKSF JPM) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) telah menganjurkan Sesi Libat Urus Bersama Pemegang Taruh dan Pihak Berkepentingan untuk Tujuan Semakan dan Pindaan Akta 530 bagi Zon 2 (SLU Zon 2) melibatkan Negeri Sembilan, Johor, Melaka dan FELDA Wilayah Mempaga.
SLU Zon 2 dihadiri wakil-wakil peneroka, generasi baharu dan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO’s) berkaitan FELDA pada 23-24 September 2024 manakala wakil daripada Pihak Berkuasa Tempatan, Pentadbir Tanah dan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) Negeri pada 25 September 2024.
Tujuan SLU diadakan bagi mendapatkan maklum balas peserta terhadap isu-isu tanah Kawasan Penempatan Berkelompok (GSA) serta cadangan awal ketetapan dasar bagi tujuan semakan dan pindaan Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 [Akta 530].
Bagi tujuan ini, para peserta telah mengutarakan pelbagai pandangan dan idea bagi menangani isu-isu berbangkit GSA termasuk membuat cadangan pindaan Akta 530.
Cadangan ketetapan dasar ini berpaksikan 5 cadangan hala tuju yang digariskan iaitu :
(i) sumbangan kepada keperluan dasar negara (hasil komoditi, sekuriti makanan negara dan pemilikan tanah);
(ii) menjaga kepentingan pemilik tanah;
(iii) tadbir urus tanah GSA yang cekap, komprehensif dan sistematik;
(iv) memenuhi keperluan generasi baharu selaku pewaris tanah GSA; dan
(v) memperkasa Akta 530 bagi memenuhi keperluan semasa dan akan datang.
Turut bersama dalam SLU 2 ini adalah Timbalan Pengarah Besar (Pembangunan Komuniti) FELDA, Timbalan Setiausaha Bahagian (Dasar dan Pengurusan) BKSF, JPM; Timbalan Setiausaha Bahagian (Pembangunan) BKSF, JPM, Pengarah Jabatan Pengurusan Tanah FELDA, Timbalan Setiausaha Bahagian Pembangunan JPM, Pegawai Undang-Undang JPM dan wakil daripada JKPTG Wilayah Persekutuan (Bahagian Pengurusan dan Perundangan Tanah (BPPT), Bahagian Dasar dan Konsultasi (BD&K) dan Bahagian Pembahagian Pusaka (BPP).