BENGKEL SEMAKAN AKTA TANAH (KAWASAN PENEMPATAN BERKELOMPOK) 1960 FASA PERTAMA SIRI PERTAMA
Putrajaya, 21 November 2024 – Bahagian Kawal Selia FELDA, Jabatan Perdana Menteri (BKSF, JPM) telah menganjurkan Bengkel Semakan Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 yang dihadiri oleh wakil-wakil daripada:
(i) Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang terdiri daripada Pejabat Penasihat
Undang-Undang (PUU JPM) dan Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik;
(ii) Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) yang
terdiri daripada Bahagian Dasar dan Konsultasi (BDK) dan Bahagian
Pembahagian Pusaka (BPP); dan
(iii) Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) yang terdiri daripada
Jabatan Pengurusan Tanah (JPT); Jabatan Pengurusan Aset (JPA); Jabatan
Undang-Undang (JUU) dan Jabatan Pembangunan Komuniti (JPK).
Objektif bengkel ini adalah untuk memahami dan mengkaji kewajaran dan keupayaan peruntukan-peruntukan sedia ada dalam menyelesaikan perkara-perkara berbangkit; sejauh mana peruntukan Akta 530 selari dengan keperluan semasa dan akan datang; dan bagi menentukan kaedah pindaan yang bersesesuaian.
Bagi tujuan ini, para peserta telah mengutarakan pelbagai pandangan dan
idea berteraskan lima (5) hala tuju utama bengkel ini iaitu menyumbang keperluan
dasar negara daripada sudut komoditi dan sekuriti makanan negara; menjaga kepentingan pemilik tanah; tadbir urus tanah Kawasan Penempatan Berkelompok
(Group Settlement Areas) yang cekap komprehensif dan sistematik; memenuhi
keperluan generasi baharu FELDA selaku pewaris penerus generasi tanah GSA;
dan memperkasa Akta 530 agar lebih menyeluruh bagi memenuhi keperluan
semasa dan akan datang.
YBrs. Encik Ahmad Tarmizi bin Zakaria, Setiausaha Bahagian BKSF JPM menyampaikan ucapan alu-aluan dan turut bersama sepanjang bengkel ini berlangsung. Tuan Azroul Hisham bin Azulan selaku Penasihat Undang-Undang JPM memimpin keseluruhan pengisian Bengkel ini. Turut hadir Timbalan Setiausaha Bahagian BKSF JPM, Timbalan Pengarah Jabatan Pengurusan Tanah FELDA dan Timbalan
Pengarah Jabatan Pembangunan Komoditi FELDA.